Lelaki disyaki pengedar dadah ditahan

KUCHING, 9 Nov – Polis Sarawak menahan seorang lelaki yang disyaki terbabit dalam pengedaran dadah serta merampas lebih setengah kilogram ketulan kristal dipercayai syabu dalam serbuan di sebuah rumah di Merdang Garden, Kota Samarahan tengah hari semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Kontinjen Sarawak Supt Sahar Abdul Latif berkata dadah seberat 544 gram yang dianggar bernilai RM81,656 terbabit ditemui telah siap dibungkus dalam 32 beg plastik lut sinar untuk dijual kepada penagih di sekitar daerah ini.

“Siasatan awal mendapati suspek telah memulakan kegiatan sejak setahun lalu. Turut dirampas tiga kenderaan milik suspek bersama wang tunai RM9,600 dan gelang emas yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM169,080,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sahar berkata pihaknya percaya penahanan suspek itu akan membantu polis menumpaskan satu lagi sindiket pengedaran syabu di bandar raya ini. – Bernama