Lelaki ditahan ceroboh istana Jepun

TOKYO, 25 MEI – Seorang lelaki Jepun ditahan di Tokyo hari ini selepas berenang menyeberangi parit Istana Maharaja untuk memanjat tembok luar dan memasuki kawasan perkarangan yang tidak dibenarkan masuk, kata polis

Mereka berkata lelaki itu berusia dalam lingkungan 40an dan ditahan pada pagi ini selepas muncul di perkarangan istana sejurus sebelum Maharaja Naruhito dijadual mengadakan upacara penanaman padi di tempat lain di kawasan istana itu. Tidak ada butir lain yang dikeluarkan, termasuk identiti lelaki atau motif pencerobohan itu.

Jurucakap polis berkata kejadian itu tidak mengganggu upacara penanaman padi. – AFP