Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 OKT – Seorang lelaki warga tempatan berusia 53 tahun telah ditahan setelah didapati tidak memiliki aplikasi BruHealth dalam pemeriksaan sebelum rondaan dan pemantauan Operasi Pulih, kelmarin.
Selain itu, peralatan yang dipercayai digunakan untuk kegiatan penyalahgunaan dadah turut ditemukan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan PPDB, lelaki berkenaan ditahan oleh anggota Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalu Lintas (JSKLL), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) ketika sedang berbasikal di kawasan Jambatan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha untuk menjalankan pemeriksaan rutin sekitar pukul 7:58 malam. Kenyataan menyatakan, lelaki berkenaan telah melanggar kesalahan di bawah Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204 dan Akta Penyalahgunaan Dadah (APD) Penggal 27.
Pihak Biro Kawalan Narkotik (BKN) dihubungi bagi tujuan peralihan siasatan dan tindakan selanjutnya.
Kenyataan menekankan bahawa PPDB melalui Operasi Pulih akan sentiasa membuat pemantauan dan rondaan di kawasan-kawasan yang berpotensi sering berlaku kejadian pelanggaran akta di negara ini.