Lelaki Filipina didakwa curi di pusat pengasingan

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 APRIL – Seorang lelaki warga Filipina mengaku tidak bersalah di Mahkamah Perantaraan, hari ini, atas pertuduhan melakukan curi di tempat yang dilindungi.

Jay Noel De Vera Gonzales, 40, didakwa mengikut Seksyen 380A Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22 kerana mencuri wang tunai dan barang-barang berharga lain di Pusat Pengasingan Kebangsaan, Tutong.

Pusat tersebut telah diwartakan sebagai tempat yang dilindungi di bawah Akta Kawasan Yang Dilindungi dan Tempat Yang Dilindungi, Penggal 147.

Hakim Muhammad Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli menetapkan 29 April 2020 untuk menentukan tarikh perbicaraan tertuduh.

Tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dibuat Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Kamal Ariffin bin Ismail.