Oleh Hajah Saemah Kepli
KUALA BELAIT, 17 April – Seorang lelaki Filipina telah memilih agama Islam sebagai pegangan hidupnya setelah melafazkan Dua Kalimah Syahadah pada majlis pengislaman yang berlangsung di Dewan Serba Guna Pejabat Bahagian Dakwah Daerah Belait, hari ini.
Ronald Canada Hernandez, 35, yang bekerja di salah sebuah syarikat swasta di sini telah memilih nama Islamnya sebagai Awang Muhammad Amir bin Abdullah Hernandez.
Hadir sama pada majlis penuh keberkatan itu ialah Penolong Ketua Bahagian Dakwah Pejabat Bahagian Dakwah Daerah Belait, Hajah Salimah binti Haji Hassan yang turut menyampaikan cenderahati kepada saudara baru berkenaan.
Semasa ditemui, Hajah Salimah menjelaskan bahawa setiap saudara baru (Mualaf) dikehendaki untuk mengikuti kursus yang dianjurkan oleh Pusat Dakwah Islamiah (PDI) mengikut jadual-jadual yang telah ditetapkan.
Kursus-kursus tersebut adalah Kursus Bimbingan Pengenalan yang diadakan selama 10 hari di Pejabat Bahagian Dakwah Daerah Belait diikuti dengan Kursus Skim Bimbingan Asas selama 14 hari juga diadakan di pejabat tersebut.

Seterusnya Kursus Skim Bimbingan Lanjutan 1 yang diadakan di PDI, Kampung Pulaie, Bandar Seri Begawan di mana bagi kursus berkenaan, para pesertanya perlu tinggal di asrama yang telah disediakan.
Kemudian diakhiri dengan Kursus Skim Bimbingan Lanjutan 2 yang juga diadakan di PDI, di mana mereka juga akan tinggal di asrama.
“Bagaimanapun saudara-saudara baru adalah digalakkan untuk terus melibatkan diri dalam kursus-kursus yang dikendalikan oleh pihak PDI untuk menambahkan lagi pengetahuan mereka dan mendalami kefahaman tentang ajaran agama Islam,” ujarnya.
Dengan pengislaman Awang Muhammad Amir itu, jumlah saudara baru yang memeluk Islam sejak awal Januari lalu di Daerah Belait telah mencecah 30 orang.