Lelaki gantung anjing pada pokok ada masalah mental

SHAH ALAM, 7 MEI – Tidak berperikemanusiaan. Itu yang boleh disifatkan terhadap satu video tular di media sosial memaparkan seekor anjing digantung pada pokok dengan mulut diikat sambil diperhatikan seorang lelaki.

Video kejadian yang tular sejak semalam itu dikesan berlaku di Batu 17, Sungai Sedu, Jalan Banting-Klang.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Supt Azizan Tukiman ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memberitahu, pihaknya menerima satu laporan mengenai insiden berkenaan daripada wakil Bahagian Kebajikan Haiwan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Cawangan Banting kira-kira pukul 6:30 petang
semalam.

“Berdasarkan maklumat daripada Bahagian Kebajikan Haiwan DVS, mereka menerima aduan daripada orang awam mengenai kejadian tersebut sekitar pukul 10 pagi dan segera ke lokasi berkenaan.

“Mereka meminta lelaki tersebut melepaskan anjing terbabit tetapi dia enggan melakukannya.

Setelah diberi amaran, barulah ia dilepaskan.

Anjing itu kemudian dirampas Bahagian Kebajikan Haiwan DVS untuk pemeriksaan,” katanya hari ini.

Azizan berkata siasatan mendapati kejadian berlaku di hadapan rumah lelaki warga tempatan berumur 45 tahun itu dan dia turut mengaku anjing tersebut adalah miliknya.

Katanya, semakan rekod pula menunjukkan lelaki yang tidak bekerja dan tinggal bersama keluarganya di rumah berkenaan mempunyai masalah mental serta pernah mendapatkan rawatan berkaitan di Hospital Banting sejak tiga tahun lepas. – Bernama