Oleh Yusrin Junaidi
Gambar serahan PPDB
TEMBURONG, 24 JAN – Seorang lelaki warganegara tempatan berusia 20 tahun dilaporkan hanyut dan hilang semasa beriadah di kawasan Sungai Batang Duri, Daerah Temburong, hari ini.
Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) cawangan Balai Polis Bangar menerima laporan melalui panggilan kecemasan kira-kira pukul 9:40 pagi yang memaklumkan mangsa telah hanyut di kawasan Sungai Batang Duri.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh PPDB, di sini hari ini, kejadian tersebut disedari oleh ahli keluarganya apabila mendapati salah seorang daripada mereka telah hanyut dan hilang semasa berenang di sungai berkenaan.
Kenyataan menambah, mangsa kali terakhir menggunakan baju dan seluar panjang berwarna hitam.
Setakat ini, Jabatan Bomba dan Penyelamat berserta pasukan paramedik turut berada di tempat kejadian bagi membantu pencarian.
PPDB menyeru orang ramai yang ada maklumat mengenainya untuk menghubungi talian 993.