Lelaki Iban terima hidayah

Oleh Lyna Mohamad

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JUN – Seorang lelaki berbangsa Iban telah memilih agama Islam sebagai pegangan hidupnya yang baharu dan melafazkan Dua Kalimah Syahadah pada majlis pengislaman yang berlangsung di sebuah kediaman persendirian di Kampung Bengkurong.

Tony anak Jau yang berusia 31 tahun kini dikenali sebagai Muhammad Dhani bin Abdullah Jau pada upacara pengislaman di hadapan pegawai Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Bahagian Pembangunan Dakwah.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyaksikan majlis tersebut ialah Penolong Pengarah PDI, Awang Abdul Aziz bin Haji Abdul Kahar. Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Setiausaha Tetap (Ekonomi), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Dr Hajah May Fa’ezah binti Haji Ahmad Ariffin dan Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional) Kementerian Kesihatan, Dr Haji Zulaidi bin Haji Abdul Latif.

Majlis dimeriahkan lagi dengan persembahan Dikir Marhaban dan taburan bunga rampai dan diakhiri dengan bacaan Doa Selamat.

Sementara itu, statistik dari PDI telah mencatatkan bahawa dari Januari 2021 hingga 4 Jun 2021, jumlah individu yang memeluk agama Islam adalah seramai 180 orang di mana Brunei dan Muara mencatatkan jumlah terbanyak dengan 99 mualaf, sementara Daerah Tutong seramai 35 mualaf, Daerah Belait seramai 31 dan Daerah Temburong seramai 15 orang.

Awang Abdul Aziz semasa menyampaikan cenderahati kepada Muhammad Dhani.