Lelaki India diperintah basuh pakaian wanita

PATNA, 23 SEPT – Seorang lelaki India yang dituduh cuba merogol, dibebaskan dengan ikat jamin bersyarat iaitu perlu membasuh dan menyeterika pakaian semua wanita dalam kampungnya selama enam bulan.

Lalan Kumar, 20, mesti membeli bahan pencuci dan barangan lain diperlukan untuk menyediakan perkhidmatan dobi percuma selama enam bulan kepada kira-kira 2,000 wanita di Kampung Majhor di negeri Bihar, di bawah perintah mahkamah hari ini.
Kumar yang meraih pendapatan dengan membasuh pakaian, diberkas dalam April atas tuduhan termasuklah cubaan merogol, pegawai polis di daerah Madhubani, Bihar, Santosh Kumar Singh memberitahu AFP.

Belum ada tarikh ditetapkan bagi perbicaraannya.

“Kesemua wanita di kampung ini gembira dengan keputusan mahkamah,” kata Nasima Khatoon, ketua majlis kampung memberitahu AFP.

“Ia sesuatu yang bersejarah. Ia memberikan penghormatan kepada wanita dan membantu melindungi maruah mereka,” tambah Khatoon, seorang daripada perwakilan kampung yang akan memantau Kumar. – AFP