Lelaki India ditahan ketika kutip derma

KUALA BELAIT, JUMAAT – Seorang lelaki India warga Malaysia ditahan selepas didapati menjalankan kegiatan kutipan sumbangan derma di kawasan premis perniagaan di pekan ini.

Jabatan Imigresen Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang cawangan Daerah Belait berkata lelaki berusia 42 tahun itu diperiksa di salah sebuah kedai selepas menerima maklumat daripada orang ramai.

Menurut jabatan itu, lelaki itu adalah pekerja sukarelawan yang diarahkan oleh sebuah persatuan kebajikan di negaranya untuk masuk ke negara ini membuat kutipan derma bagi membantu orang-orang miskin, cacat anggota dan menderita di negaranya.

Siasatan juga mendapati lelaki itu berada di negara ini selama tiga hari dengan pas lawatan sosial dan dipercayai menjalankan kegiatan berkenaan di premis perniagaan, kedai-kedai dan orang ramai tanpa kebenaran pihak berkuasa di negara ini.

Lelaki itu diarahkan keluar serta-merta dari negara ini dan dilaporkan balik ke negara asalnya.