UTTAR PRADESH, INDIA, 23 MAC – Seorang lelaki India telah menjadi seorang selebriti di negeri kelahirannya di Uttar Pradesh, berkat kawan baiknya yang luar biasa, seekor bangau liar yang mengikutinya ke mana-mana dia pergi.
Menurut laporan Oddity Central, Mohammed Arif, 30 tahun, seorang operator penuai dari kampung Mandka, di Uttar Pradesh, bekerja di ladang pada Februari tahun lalu, apabila dia melihat seekor bangau sarus yang cedera seperti memerlukan bantuan.
Arif yang menyedari sebelah kaki bangau itu luka, membawanya pulang dan merawatnya sehingga sihat.
Meskipun ia mengambil masa yang lama untuk sembuh, bangau berleher merah itu akhirnya berjaya dipulihkan sepenuhnya.
Setelah ia dilepaskan, bangau tersebut terbang bebas namun tidak lama kemudian ia kembali semula ke pangkuan wira yang menyelamatkannya dan sehingga kini menemaninya ke mana saja.
Burung itu mengalami luka di kaki kanannya dan darah banyak keluar, saya dapat melihat ia sangat kesakitan,” kata Arif mengenai hari dia bertemu rakannya yang berbulu itu.
“Tanpa berfikir dua kali, saya mengambilnya dan membawa pulang burung itu. Saya meletakkan ubat pada kakinya dan meletakkan plaster dengan memasang batang buluh serta menutupnya dengan pembalut. Saya mempunyai sebuah pondok, pada asasnya sebuah bangsal dengan bumbung timah di mana burung itu ditempatkan,” katanya.
Semasa rawatan, burung itu disatukan bersama burung peliharaannya di halaman rumah Arif semasa dia pergi bekerja, tetapi sebaik lelaki itu pulang ke rumah, burung itu datang kepadanya, meminta untuk dipeluk dan berkongsi makanannya.
April lalu, burung itu, yang dinamakannya sebagai Bachcha, pulih sepenuhnya, tetapi ia enggan terbang, lebih suka mengekori kawan baiknya itu. – Agensi
