Lelaki Iraq dipenjara seumur hidup

WIESBADEN, JERMAN, 10 JULAI – Seorang lelaki Iraq telah dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup oleh mahkamah Jerman hari ini atas kesalahan rogol dan membunuh seorang remaja perempuan sehingga mencetuskan bantahan ke atas kemasukan penghijrah Muslim.

Parti Alternative for Germany (AfD) dan kumpulan berhaluan kiri lain telah menggunakan peluang ke atas pembunuhan kejam Susanna Maria Feldman berusia 14 tahun dalam kempen menentang dasar suaka Canselor Angela Merkel.

Tertuduh, Ali Bashar, 22, merupakan seorang pencari perlindungan yang permohonannya ditolak telah disabit bersalah kerana membunuh dan dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup oleh mahkamah di Wiesbaden, bandar tempat pembunuhan itu berlaku pada Mei tahun lalu.

Hakim, Juergen Bonk, juga mendapati jenayah itu terlalu teruk, bermaksud Bashar tidak akan diberikan parol selepas 15 tahun.

Bashar melakukan ‘pembunuhan kejam’ dan tiada menunjukkan ‘sebarang sesal atau empati’, kata ketua hakim, menambah bahawa semasa perbicaraannya defendan tidak ‘menyuarakan perkataan menyesal’.

Ali Bashar (kiri) menutup wajahnya di hadapan kamera sejurus memasuki bilik mahkamah, bersebelahan peguamnya, Martin Reineke pada 10 Julai di Wiesbaden, barat Jerman. – AFP

Lelaki terbabit memukul, merogol dan mencekik budak sekolah terbabit hingga mati di sebuah kawasan berhutan berhampiran landasan kereta api pada 23 Mei.

Mahkamah mendengarkan yang dia menghantar mesej palsu dari telefon bimbit Susanna yang mengatakan dia telah pergi ke Paris bagi satu lawatan mendadak.

Mayatnya kemudian ditemui pada 6 Jun dalam kubur cetek ditutupi dengan daun, ranting dan tanah.

Pada waktu itu, Bashar dan keluarganya telah meninggalkan Jerman dan kembali ke Arbil di utara Iraq.

Tertuduh bagaimanapun telah ditangkap oleh pasukan keselamatan Kurdish dan dibawa balik ke Jerman, walaupun Berlin dan Baghdad tiada perjanjian ekstradisi rasmi.

Ketua polis persekutuan, Dieter Romann turut menyertai operasi kontroversi itu, dengan muka depan akhbar menunjukkan gambar komando mengiringi Bashar keluar dari pesawat udara.

Bashar kemudian mengaku membunuh namun menafikan merogol, mendakwa dia dan perempuan itu sama-sama rela melakukan persetubuhan sebelum dia terjatuh, berang dan mengancam untuk menghubungi polis. – AFP