Lelaki lari ke Kanada dipenjara 18 bulan

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 DIS – Seorang lelaki yang melarikan diri selepas berakhirnya perbicaraan atas pertuduhan di bawah Akta Hasutan telah disabitkan kesalahan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Shahiransheriffudin bin Shahrani Muhammad yang kini mendapat perlindungan di Kanada dijatuhi hukuman 18 bulan penjara oleh Majistret Kanan Lailatul Zubaidah binti Haji Mohd Hussain. Majistret Kanan Lailatul dalam penghakimannya mendapati pembelaan tertuduh bersifat penafian semata-mata dan tidak mempercayainya.

Semasa perbicaraan, tertuduh mendakwa memuat naik komen itu selepas menghadiri ceramah mengenai garis panduan pelesenan halal.
“Dalam kenyataannya, tertuduh mendakwa telah marah dengan akhbar tempatan kerana tidak menerangkan proses itu dengan baik.

“Tertuduh seharusnya menyuarakan kemarahannya pada akhbar itu dan bukannya kepada Kementerian Hal Ehwal Ugama, atau sekurang-kurangnya menyebut nama akhbar itu bersama kementerian, kata Majistret Kanan Lailatul dalam penghakimannya.

Selepas mendapati perbuatan tertuduh itu berbentuk sebagai hasutan, mahkamah telah memetik beberapa kes perundangan termasuk garis pandu rangka kerja Melayu Islam Beraja. Terdahulu, pihak pendakwa membuat permohonan mendapatkan kebenaran di Mahkamah Tinggi untuk majistret yang menjalankan perbicaraan tertuduh diberi kuasa memberi penghakimannya tanpa kehadiran tertuduh.

Tertuduh yang merupakan kakitangan kerajaan dibicarakan di bawah Akta Hasutan kerana memberi komen mengenai dasar persijilan halal Kementerian Hal Ehwal Ugama. Dia dituduh di bawah Seksyen 4 (1) (c) Akta Hasutan yang mendakwa telah mengeluarkan komen hasutan tersebut dalam laman Facebook miliknya pada 16 Julai 2017.

Tertuduh diwakili Peguam Pengiran Khairul Nizam bin Pengiran Haji Mohd Yassin.