Lelaki lebih mudah sakit jantung

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OKT – Kematian pramatang akibat penyakit kardiovaskular atau penyakit jantung telah meningkat 26 peratus pada tahun 2018 berbanding 20 peratus pada tahun 2013 dan peningkatan ini pula semakin banyak berlaku dalam kalangan orang lebih muda.

Kadar kematian pramatang berdasarkan standard usia untuk penyakit kardiovaskular adalah 131 setiap 100,000, lebih tinggi dalam kalangan lelaki (160 setiap 100,000 orang) berbanding wanita (99 setiap 100,000)

Manakala kadar kematian standard bagi semua peringkat umur pula ialah 167 setiap 100,000 penduduk bagi kedua-dua jantina, lebih tinggi pada lelaki (205 setiap 100,000) berbanding wanita (135 setiap 100,000).

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar (gambar kiri) menekankan kadar kematian tinggi kardiovaskular bagi lelaki itu ketika menyampaikan ucapan selaku tetamu kehormat pada Mesyuarat Saintifik Tahunan Persatuan Jantung Brunei Darussalam ke-6 yang diadakan di Pusat Pakar Pantai Jerudong (PJSC), hari ini.

Beliau turut mengongsi penyakit kardiovaskular masih kekal sebagai penyebab kematian kedua tertinggi di negara ini selepas kanser dan menyumbang kepada hampir 25 peratus kematian pada 2018.

Manakala prosedur berkaitan penyakit jantung ini juga meningkat, dengan tahun lalu sahaja angiograms yang dilakukan di Gleneagles JPMC direkodkan pada 1,241 berbanding 956 pada 2013, manakala prosedur angioplasties pada tahun lalu adalah 725 kali, berbanding 550 pada 2013 dan 184 pembedahan pada 2018 berbanding 165 pada 2013.

Kos-kos dalam tempoh lima tahun lalu di sana meningkat hampir 20 peratus kepada $30,058,000 berbanding $25,115,000 pada 2013, tambah Yang Berhormat Menteri Kesihatan. Beliau menjelaskan, Kementerian Kesihatan berusaha mencegah dan mengawal peningkatan penyakit kardiovaskular ini sebahagian besarnya melalui pelancaran Garis Panduan Hipertensi Kebangsaan Negara Brunei Darussalam yang dilancarkan kelmarin sebagai projek bersama antara kementerian dan Persatuan Jantung Brunei Darussalam.

Menurutnya, garis panduan adalah hasil kerja ramai pakar berbeza dalam penjagaan pesakit hipertensi dari kanak-kanak sehingga dewasa.

Pelancaran bertepatan pada masanya dan merangkumi banyak kepentingan, kerana ramai orang berjalan-jalan dengan hi-pertensi yang tidak didiagnosis, yang merupakan faktor risiko utama penyakit jantung, tambahnya.

Beliau menekankan bahawa garis panduan berkenaan menggalakkan profesional penjagaan kesihatan untuk kerap menyiasat pesakit bagi tekanan darah tinggi dalam usaha untuk mengambil keadaan awal, untuk mendapatkan rawatan lebih awal dan mencegah perkembangan kepada masalah jantung yang lebih serius.

Kementerian Kesihatan, katanya, telah mengadakan National Screening Program yang dilancarkan awal tahun ini yang menyediakan pemeriksaan untuk faktor risiko penyakit tidak berjangkit termasuk penyakit kardiovaskular bagi mereka berumur 40 tahun dan ke atas.

Oleh yang demikian, beliau menyarankan kepada orang ramai yang masih belum menjalani pemeriksaan yang ditawarkan untuk mengambil peluang tersebut, untuk melakukan tekanan darah dan faktor risiko lain seperti tahap kolesterol, tahap gula darah dan BMI untuk diperiksa.