Lelaki makan pisang bernilai AS$120,000

MIAMI, 8 DIS – Seorang artis mengejutkan orang ramai di pertunjukan Art Basel di Miami semalam, apabila bertindak mengambil sebiji pisang yang dilekatkan pada dinding galeri itu dan memakannya.

Pisang itu, adalah sebahagian daripada karya seni seniman Itali, Maurizio Cattelan bertajuk ‘Comedian’ dan dijual kepada seorang pengumpul Perancis pada harga AS$120,000.

Dalam satu hantaran video di akaun Instagram miliknya, David Datuna yang menggambarkan dirinya sebagai artis Amerika kelahiran Georgia di New York, berjalan ke arah pisang itu sebelum mengambil buah berkenaan yang dilekatkan dengan pita perekat.

“Pertunjukan seni, artis yang kelaparan,” katanya sambil mengupas pisang terbabit dan menggigit buah itu.

“Terima kasih, sangat sedap,” katanya.

Antara pengunjung yang bergambar di hadapan karya seni ‘Comedian’ di Galeri Perotin, Art Basel Miami pada 6 Disember. – AFP

Beberapa pengunjung kedengaran tertawa sebelum pegawai galeri yang berang menariknya ke kawasan lain untuk disoal siasat.

Adegan itu bagaimanapun berjaya diselesaikan dengan baik tanpa sebarang kejadian tidak diingini.

Menurut laporan akhbar, nilai sebenar karya itu terletak pada keunikan dan keaslian idea dan pisang berkenaan digantikan dengan yang baharu.

Ia dilekat semula pada karya itu kira-kira 15 minit selepas aksi mengejut Datuna.
“Aksi beliau mencetuskan ketegangan dan menarik perhatian yang tidak dijangka. Namun maklum balas diterima amat hebat. Ia membuatkan penonton terhibur,” kata pengarah muzium seni itu, Lucien Terras.

Pengarah galeri, Peggy Leboeuf berkata tidak ada tindakan undang-undang dirancang dikenakan ke atas Datuna.

“Dia tidak ditangkap, namun kami memintanya untuk me-ninggalkan pameran tersebut,” katanya lagi. – AFP