Lelaki Malaysia didakwa

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OGOS – Seorang lelaki warga Malaysia dihadapkan ke Mahkamah Majistret, hari ini, atas pertuduhan membantu memindahkan sebuah kereta yang merupakan hasil daripada kegiatan jenayah yang dilakukan di negara ini ke negara jiran.

Tidak ada pengakuan direkodkan daripada Tan Poh Hin, 43, yang dituduh memindahkan kereta mewah dengan pendaftaran tempatan dari negara ini ke Miri di hadapan Majistret Mohammad Marzuqi bin Sabtu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan sekitar Julai 2019 di Kampung Panchor Murai apabila didakwa secara sukarela membantu memindahkan kereta, yang mana dia gagal mengambil langkah tertentu untuk menentukan sama ada kereta itu adalah hasil daripada kegiatan jenayah.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang dihukum di bawah Seksyen 3(1)(b) Perintah Mendapatkan Kembali Aset Jenayah, 2012 yang membawa denda tidak melebihi $500,000, penjara untuk tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya jika didapati bersalah. Pendakwaan dibuat Timbalan Pendakwa Raya, Nur Hidayatul Aeny Alisah binti Haji Zullizam. Kes akan disebut lagi pada 20 Ogos 2019.