Lelaki Malaysia didenda miliki minuman keras

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 OGOS – Mahkamah Majistret, di sini, kelmarin telah memerintahkan seorang lelaki warga Malaysia membayar denda berjumlah $5,000 kerana memiliki minuman keras yang diseludup masuk ke negara ini.

Jinggan anak Senueng, 51, berdepan hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayar denda tersebut.

Pemangku Majistret Kanan Kamaliah Fadhilah Haji Ibrahim dimaklumkan oleh Pegawai Pendakwa Kastam Haji Mohamad Junaidi Haji Ahmad bahawa pegawai pencegahan kastam telah menemui sebanyak 98 tin minuman keras yang tidak diisytiharkan di rumah tertuduh di Kampung Lumut pada pukul 10:26 malam, 31 Mei lalu.

Mahkamah juga memerintahkan agar semua barangan yang dirampas tersebut untuk dimusnahkan.