LUNDU, 28 Jun – Seorang lelaki maut apabila kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya hilang kawalan lalu terbabas di Jalan Sampadi-Lundu di sini pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak berkata mangsa, Kadum Anak Geraik, 59, berketurunan Iban disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak perubatan dari Hospital Lundu.
Beliau berkata dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 8.17 pagi, kereta yang penuh dengan muatan buah kelapa sawit itu hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan dan terbalik.
Katanya, sepasukan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Lundu dikerahkan ke tempat kemalangan dan menggunakan peralatan menyelamat ‘Air Lifting Bag’ bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kenderaan itu.
“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” kata jurucakap itu. – Bernama