LAHAD DATU, 18 Ogos – Seorang lelaki warga Indonesia maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah pacuan empat roda di Kilometer 20, jalan Lahad Datu-Tungku, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu ACP Hamzah Ahmad berkata, dalam nahas kira-kira pukul 6.45 petang itu, mangsa Muhammad Suaif Aloysius, 39, maut di tempat kejadian.
“Siasatan awal mendapati mangsa sedang menghala dari arah Lahad Datu ke Tungku, sebelum bertembung sebuah kereta jenis Toyota Avanza dari arah Tungku,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Bernama