Lelaki mengaku salah mencuri

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JULAI – Seorang lelaki warga tempatan dijatuhi hukuman penjara lapan bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret kelmarin atas kesalahan mencuri dan melakukan khianat.

Pemangku Majistret Kanan Pengiran Hazirah binti Pengiran Haji Mohd Yusof mendengarkan penerangan fakta daripada Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Firdaus Mohammad bahawa Muhammad Farthulislam bin Muhammad Arfan, 29, pertama kali melakukan perbuatannya di sebuah rumah di Perpindahan Rimba Gadong kira-kira 26 dan 27 Jun yang lalu.

Tertuduh yang berjalan menuju ke rumah rakannya pada ketika itu melintasi rumah tersebut di mana tertuduh telah memindahkan salah satu bahagian pagar rumah yang menyebabkannya rosak kemudian menuju ke bahagian garaj.

Tertuduh ternampak sebuah mesin pemateri dan membawanya ke rumah kawannya dan memberikan mesin berkenaan kepadanya.

Mangsa kemudian menyedari akan kehilangan barangnya dan membuat laporan polis.

Antara 22 Julai dan 23 Julai, tertuduh menyasarkan sebuah rumah lagi di Perpindahan Rimba Gadong di mana dia sedang berjalan ke rumah kawannya apabila melintasi rumah kedua tersebut dan mendapati dua tong gas berada dalam sebuah tempat simpanan yang diperbuat daripada zink.

Tertuduh memotong pembuka kunci menggunakan pemotong yang dibawanya dan merosakkan kekunci tersebut.

Setelah itu, tertuduh membawa tong gas berkenaan dan menyorokkan di kawasan kedai berhampiran lalu menjual kedua-dua tong gas berkenaan pada harga $60.

Mangsa kemudiannya membuat laporan polis setelah menyedari kehilangan harta bendanya pada pagi 23 Julai di mana hasil daripada siasatan polis membawa kepada penahanan tertuduh pada hari yang sama.