Lelaki meninggal dunia dipercayai terjatuh dari basikal

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 JULAI – Seorang lelaki berusia 51 tahun telah didapati meninggal dunia dipercayai terjatuh dari basikal ketika dalam perjalanan pulang ke rumah.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), mangsa pada awalnya ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan terbaring di tepi longkang di kawasan Jalan Piasan Lamunin, Daerah Tutong.

Siasatan lanjut mendapati, mangsa telah meninggalkan kumpulan rakan berbasikal untuk menuju pulang ke rumah masing-masing setelah selesai melakukan riadah berbasikal di kawasan tersebut pada 19 Julai.

Setelah sampai di rumah masing-masing, rakan mangsa menerima makluman bahawa mangsa belum pulang ke rumahnya.

Pada 20 Julai, rakan-rakan mangsa kemudian mengambil keputusan untuk membantu menjalankan pencarian dan telah menemui mangsa berada di kawasan Jalan Piasan Lamunin dalam keadaan tidak sedarkan diri berdekatan dengan basikal mangsa.

Mangsa telah dibawa ke Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) untuk pemeriksaan lanjut.

Hasil daripada pemeriksaan, mendapati mangsa mengalami kecederaan patah tulang di bahagian rusuk dan tengkok dipercayai penyebab maut akibat daripada jatuh ketika menuruni bukit dengan laju.

PPDB menasihati para penunggang basikal untuk lebih berhati-hati dan berwaspada semasa melakukan riadah berbasikal.