Lelaki menyamar polis ditahan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Okt – Berikutan laporan kes lelaki menyamar sebagai seorang anggota polis, Balai Polis Berakas, Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) telah berjaya menahan seorang suspek, semalam. Awang Abdullah Muhammad Sham Khairunnas bin Abd Wahab, 23, warganegara tempatan telah diberkas oleh anggota tugas-tugas khas (Special Duty) Balai Polis Berakas kerana dipercayai terlibat dengan kes bagi tujuan menipu.

Suspek telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bandar Seri Begawan dan permohonan reman telah diluluskan bagi meneruskan siasatan dan pengumpulan maklumat selanjutnya.

Dalam pada itu, suspek akan berdepan dengan dakwaan di bawah Seksyen 419 ‘Menipu Melalui Penyamaran’, Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22.

Sehubungan itu, orang ramai diingatkan sekiranya melihat atau didatangi oleh individu yang mengaku sebagai seorang anggota penguat kuasa undang-undang atau anggota beruniform disarankan untuk meminta bukti pengenalan diri dan seterusnya mengambil butir-butir peribadi untuk dirujuk kembali kepada jabatan-jabatan tertentu.

Awang Abdullah Muhammad Sham Khairunnas.