Lelaki muat naik gambar peluru dihukum penjara

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 MEI – Tindakan seorang suami yang memuat naik butir peluru di laman sosial Facebook untuk menarik perhatian isterinya supaya kembali ke rumah mereka dijatuhi hukuman lima tahun penjara dan tiga sebatan oleh Mahkamah Perantaraan, pada Sabtu lalu.

Hukuman terhadap Mohammad Zulhilmi bin Mohd Hussin, 39, yang mengaku bersalah memiliki 21 butir peluru antara 22 Februari dan 3 Mac 2020 di rumahnya di RPN Kampung Panchor Mengkubau diputuskan Hakim Pengiran Masni binti Pengiran Haji Bahar.

Isteri tertuduh, Saltinawati binti Haji Abu Bakar, 43, yang turut berdepan tuduhan sama kerana memiliki peluru tersebut dari tahun 2014 sehingga 20 Februari 2020 masih mengekalkan pengakuan tidak bersalah dan akan dibicarakan pada Oktober 2020.

Menurut fakta kes, tertuduh sebelum ini pernah berkhidmat sebagai anggota beruniform antara 1999 sehingga 2008.

Gambar-gambar peluru yang dimuat naik tertuduh dalam laman sosial di bawah nama Saltinawati Tina menggerakkan polis untuk menjalankan siasatan pada 2 Mac 2020, yang kemudian membawa tangkapan tertuduh dan isterinya pada keesokan harinya.

Siasatan di kediaman mereka menemukan kotak yang mengandungi 21 peluru yang disimpan dalam beg.

Pasangan suami isteri berkenaan berdepan masalah rumah tangga di mana Saltinawati telah keluar dari rumah mereka pada 20 Februari 2020.
Pendakwaan dibuat Timbalan Pendakwa Raya, Emily Goh.