Lelaki nafi 4 pertuduhan termasuk bunuh

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 APRIL – Seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun telah menafikan pertuduhan melakukan serangan bersenjata, membunuh dan mencuri, di Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini.

Mohamad Khairulnizam bin Ali Noh menafikan pertuduhan pertama iaitu menyerang seorang lelaki dengan mengelar lehernya menggunakan pisau antara pukul 7:30 malam dan 8:02 malam, 4 Oktober 2017 di sebuah tempat letak kereta di Batu Satu.

Dia juga meminta untuk dibicarakan atas pertuduhan mencuri kenderaan daripada seorang wanita berusia 70 tahun di Kampung Tanjong Nangka antara 5 dan 9 Oktober 2017.

Pertuduhan ketiga dan keempat yang dipertikaikan oleh defendan mendakwa dia telah membunuh wanita berusia 70 tahun dan wanita berusia 23 tahun di kilometer 50 Lebuhraya Sultan Haji Hassanal Bolkiah antara 5 dan 10 Oktober 2017.

Defendan diwakili Peguam Bela Haji Zainidi bin Haji Abdul Hamid bagi bantuan guaman.

Manakala itu, Ketua Hakim Negara Dato Seri Paduka Steven Chong, dibantu Pesuruhjaya Kehakiman Muhammed Faisal bin PDJLDR DSP Haji Kefli, menangguhkan kes tersebut kepada 11 Mei hadapan untuk menetapkan tarikh perbicaraan.

Timbalan Pendakwa Raya Datin Paduka Hajah Suhana binti Haji Sudin, Shamshuddin bin Haji Kamaluddin dan Mohd Qamarul Affiyan bin Abdul Rahman mewakili pendakwa raya.