Lelaki nafi tuduhan curi, memandu terburu-buru

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 SEPT – Seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun kelmarin menafikan tuduhan yang dikenakan terhadapnya atas kesalahan cubaan mencuri dan memandu secara terburu-buru di bawah Kanun Keseksaan, Bab 22.

Bagaimanapun, siasatan polis Sengkurong yang didedahkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Sabrina Mahmud di mahkamah hari ini mengatakan bahawa Rosdy Irwandy bin Haji Abdullah didakwa menggunakan kekerasan terhadap seorang lelaki Bangladesh apabila dia meragut wang tunai $30 dari poketnya dan melarikan diri menggunakan kereta yang dipandu dengan cuai sehingga membahayakan nyawa pengguna jalan raya di sekitar jalan tersebut.

Perbuatan tertuduh juga menyebabkan seorang lelaki Bangladesh mengalami kecederaan parah pada malam 19 Ogos lepas di sekitar kawasan Mulaut Ban 5.

Tertuduh akan membuktikan ketidakbersalahannya terhadap pertuduhan tersebut semasa perbicaraan yang mana Majistret Mohammad Marzuqi bin Sabtu telah menangguhkan kes itu sehingga 16 September depan bagi menentukan tarikh perbicaraan.