Lelaki padam kebakaran elektrik terima penghargaan dari JBP

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 JUN – Tindakan pantas seorang lelaki tempatan berjaya memadamkan kebakaran elektrik yang berlaku pada 16 Mei lalu, mendapat pujian dan penghargaan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP).

Sehubungan dengan itu, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JBP di sini, hari ini, jabatan menyampaikan Sijil Masyarakat Berjasa sebagai penghargaan kepada Awang Muhammad Suhaibul Danial bin Dalim yang berjaya memadamkan kebakaran eletrik pada kejadian 7:23 pagi di sebuah kedai runcit di Kampung Kupang, Tutong.

Menurut kenyataan itu lagi, Awang Muhammad Suhaibul Danial berjaya memadamkan kebakaran elektrik di bahagian pemegang mentol (bulb) dengan menggunakan alat pema-dam api jenis debu kering 2.5 kilogram sebelum kereta bomba sampai.

Pada majlis itu, beliau menerima sijil yang disampaikan oleh Pegawai Pemerintah Operasi E, JBP, Penguasa Kanan Bomba, Awang Mohd Yudieswandy bin Bakar. Turut hadir ialah Pegawai Perhubungan Awam Cawangan Operasi E.

Dalam kenyataan itu juga, JBP menasihatkan supaya orang ramai sentiasa memastikan pemakaian elektrik tidak mencapai tahap lebih bebanan (overload) dan mematikan suis mana-mana peralatan elektrik selepas menggunakannya atau meninggalkannya dalam masa yang lama, memastikan pendawaian dalam keadaan baik serta membuat pemeriksaan dengan melalui syarikat yang diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Elektrik serta memastikan premis atau bangunan mereka dilengkapi dengan peralatan keselamatan seperti alat pemadam api yang bersesuaian, selimut api atau alat pengesan asap.

Kenyataan juga menyatakan bahawa jika berlaku sebarang insiden kecemasan, orang awam hendaklah berhubung terus ke Talian Kecemasan 995 dan memberikan maklumat yang tepat.

Awang Mohd Yudieswandy (kiri) menyerahkan Sijil Masyarakat Berjasa kepada Awang Muhammad Suhaibul Danial. – Gambar oleh JBP