HAR ADAR, Wilayah Palestin, 26 Sept – Seorang warga Palestin melepaskan tembakan ke arah kakitangan keselamatan Israel di pintu masuk ke penempatan Tebing Barat hari ini, membunuh tiga orang dan mencederakan yang lain sebelum dirinya ditembak mati, kata polis.
Serangan itu yang muncul ketika utusan Amerika Syarikat (AS), Jason Greenblatt dijangka berada di Baitulmuqaddis bagi rundingan untuk melancarkan semula proses damai Timur Tengah yang nazak, mencetuskan kecaman daripada para pegawai Israel yang menggesa tindakan daripada kepimpinan Palestin.
Ia juga berlaku di tengah-tengah cuti penting Yahudi, apabila keganasan Israel-Palestin meletus pada masa lalu sehingga menyebabkan polis mengarahkan penguatkuasaan untuk mencegah pergolakan selanjutnya.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menuntut kecaman jelas mengenai serangan itu daripada Presiden Palestin, Mahmud Abbas, menambah bahawa rumah lelaki bersenjata itu akan diruntuhkan dan permit kerja Israel akan dilucutkan.
Sasaran serangan adalah Har Adar, penempatan mewah barat laut Baitulmuqaddis, jauh di bukit dekat dengan Green Line yang memisahkan Tebing Barat yang diduduki dari Israel.

Tingkap-tingkap di pondok pengawal di pintu masuk utara, tempat sehari-hari buruh Palestin diperlukan untuk menjalani pemeriksaan sekuriti, telah berkecai akibat tembakan itu, lapor seorang koresponden AFP.
Jurucakap polis Micky Rosenfeld memberitahu AFP yang lelaki bersenjata itu, yang mempunyai permit untuk bekerja di penempatan tersebut, telah bersembunyi dalam kalangan buruh Palestin lain.
“Dia bersikap teragak-agak dan kemudian tiba-tiba, beberapa meter sebelum pemeriksaan sekuriti, dia mengeluarkan senjata sembilan milimeter dan melepaskan tembakan ke arah dua pengawal keselamatan, yang mana dia terus ditembak dan dibunuh di tempat kejadian,” kata Rosenfeld.
“Dia juga melepaskan tembakan ke arah pegawai polis sempadan yang juga berada di sini.
“Dan dua lagi pegawai, yang berdiri dekat di tempat kami berada pada ketika itu, membalas balik tembakan dan menembak serta membunuh penyerang itu.”
Perkhidmatan keselamatan dalaman Shin Bet, Israel mengenal pasti lelaki bersenjata sebagai Nimer Aljamal, 37, seorang ayah kepada empat orang anak dari kampung Beit Surik berhampiran Palestin dengan tiada ‘latar belakang rekod keselamatan’ sebelumnya. – AFP