Lelaki paling tinggi di AS meninggal dunia pada usia 38

WASHINGTON, 24 OGOS – Lelaki paling tinggi di Amerika Syarikat (AS) dengan ketinggian 7 kaki 8 inci telah meninggal dunia kerana masalah jantung pada usia 38 tahun, kata ibunya dalam laman Facebook.

Igor Vovkovinskiy kelahiran Ukraine menghidap pituitary gigantism iaitu keadaan di mana seseorang memiliki hormon tumbesaran lebih daripada individu normal. Ibunya, Svetlana Vovkovinska mengatakan anaknya itu meninggal dunia pada Jumaat lalu di Minnesota.

Vovkovinskiy dengan ketinggian 2.35 meter (7 kaki 8 inci) sebelum ini menerima pengiktirafan itu daripada Guinness World Records pada 2010.

CNN melaporkan Vovkovinskiy yang berasal dari Ukraine berpindah ke Rochester, Minnesota untuk mendapatkan rawatan.

Ketinggiannya menyebabkan dia mempunyai masalah mencari kasut sesuai apabila saiz kakinya berukuran 24 10-E.

Lelaki tertinggi dalam sejarah moden AS adalah Robert Wadlow, 2.72m, meninggal tahun 1940 pada usia 22 tahun.

Untuk rekod, lelaki tertinggi di dunia yang masih hidup adalah Sultan Kosen dari Turki dengan ketinggian 2.51m. – AFP