Lelaki panjat pagar istana ditangkap

LONDON, 11 JULAI – Seorang lelaki ditangkap selepas memanjat pagar depan Istana Buckingham pada awal pagi kelmarin, di mana Ratu Elizabeth II sedang berada di kediamannya itu, kata para pegawai hari ini.

Menurut laporan yang memetik kenyataan Perkhidmatan Polis Metropolitan, lelaki berusia 22 tahun itu, yang belum dikenal pasti oleh polis, tidak membawa sebarang senjata dan insiden tersebut tidak mempunyai kaitan dengan tindakan keganasan.

The Sun melaporkan bahawa dia menceroboh masuk di kawasan istana selama kira-kira empat minit sebelum ditahan.

Jurucakap istana mengesahkan bahawa Ratu Elizabeth, yang mengadakan pertemuan mingguannya dengan Perdana Menteri Theresa May kelmarin sedang berada di dalam istana tersebut.

Sebelum ini, terdapat beberapa kejadian mendedahkan individu yang cuba menceroboh masuk di dalam dan di perkarangan istana berkenaan.

Kejadian yang paling diingati ialah pada tahun 1982, di mana individu tidak dikenali, Michael Fagan masuk ke dalam bilik peribadi Ratu Elizabeth ketika dia sedang tidur.

Tahun lepas, seorang lelaki yang tidak mempunyai tempat tinggal memanjat pagar istana waktu malam sebelum diberkas. – AFP