Lelaki pecah kereta ditahan

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 NOV – Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) telah menahan seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian pecah kenderaan yang tular dalam media sosial, baru-baru ini.

Daripada sebutan kes yang dijalankan, pihak mahkamah telah bersetuju suspek ditahan reman bagi menjalani pemeriksaan kesihatan mental di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) sehingga 2 Disember depan sebelum melanjutkan perbicaraan seterusnya.

Dalam kejadian berkenaan, lima buah kenderaan yang diletakkan di kawasan Kampung Kiulap, di sini, telah mengalami kerosakan dipercayai perbuatan khianat.

Beberapa gambar yang memperlihatkan cermin belakang beberapa buah kenderaan dipecahkan telah ditularkan dan gambar individu melakukannya turut dikongsikan dalam media sosial.

Berikutan kejadian tersebut, Balai Polis Pusat Bandar Seri Begawan mengesahkan telah menerima laporan tersebut pada 22 November 2019 dan siasatan telah dijalankan.