Lelaki Pokok rela ‘ditebang’

DHAKA, 24 JUN – Seorang lelaki Bangladesh, yang dikenali sebagai ‘Lelaki Pokok’ disebabkan adanya ketumbuhan seakan-akan kulit kayu pada badannya, berkata bahawa dia mahu tangannya dipotong sahaja bagi mengurangkan penderitaan yang dialaminya.

Abul Bajandar telah menjalani 25 pembedahan sejak 2016 bagi membuang ketumbuhan itu di tangan dan kakinya yang berpunca daripada sindrom ganjil.

Para doktor sebelum ini percaya bahawa mereka sudah mematikan penyakit itu tetapi Banjadar pergi ke sebuah klinik di Dhaka pada Mei tahun lepas susulan berbaliknya ketumbuhan itu.

“Saya tidak mampu menanggungnya lagi. Saya tidak dapat tidur malam. Saya meminta para doktor potong tangan ini agar penderitaan saya berkurangan,” katanya kepada AFP.

Bajandar menderita satu keadaan genetik yang jarang sekali terjadi, juga dikenali sebagai ‘sindrom lelaki pokok’.

Bajandar berkata dia mahu pergi ke luar negara bagi mendapatkan rawatan lebih baik, tetapi dia tidak mempunyai wang yang cukup bagi menampung kos perbelanjaan.

Ketua pembedahan plastik di Dhaka Medical College Hospital, Samanta Lal Sen, berkata satu lembaga yang terdiri daripada tujuh orang doktor akan membincangkan keadaan Bajandar esok.

“Dia memberikan pendapatnya sendiri. tetapi kami akan mencari penyelesaian terbaik untuknya,” kata Sen.

Perdana Menteri Sheikh Hasina berjanji bagi rawatan percuma buat Bajandar selepas rayuannya menjadi topik utama di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Kurang daripada 10 orang di seluruh dunia dipercayai mempunyai sindrom sama seperti yang dideritai oleh Banjadar. – AFP

Bajandar, 28, digelar ‘Lelaki Pokok’ menunjukkan tangannya yang ditumbuhi seakan-akan kulit kayu ketika ditemui di Dhaka semalam. – AFP