Lambakan mesej langsung (DM) yang tidak senonoh diterima aktres sensasi, Sophia Albarakbah mengundang rasa tidak selesa dalam dirinya.
Sudah berlanjutan dalam tempoh agak lama, Sophia, 31, mengaku perkara itu dilakukan oleh kaum lelaki yang dianggap tidak normal.
Sophia mendakwa, hampir 50 peratus DM diterimanya dibanjiri dengan perkara yang tidak senonoh.
Justeru, Sophia bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap pelayar media sosial yang meninggalkan komen berbaur hinaan terhadap dirinya.
Katanya, dia sedang mengumpul bahan bukti seperti tangkap layar mesej berkenaan sebelum meneruskan dengan tindakan selanjutnya.
“Hampir 50 peratus mesej langsung diterima dengan perkara yang tidak senonoh.
“Mungkin mereka boleh dikategorikan sebagai lelaki ‘psiko’ dan selalu berimaginasi perkara tidak baik. Manusia normal tidak akan buat begitu.
“Saya tidak rasa seksi mengundang mesej tak senonoh sebab ada kes lelaki buat perkara tidak elok kepada binatang. Jadi, adakah binatang berpakaian seksi?
“Ada juga kes pedofilia berlaku, jadi adakah budak itu berpakaian seksi. Kita tak boleh salahkan mangsa. Kalau orang baik, letaklah gadis seksi macam mana sekalipun, dia tidak akan buat apa-apa,” katanya kepada BH Online.
Jadi, katanya, dia sedang menyimpan bukti, mesej langsung atau komen teruk seperti makian dan perkara tidak senonoh. Semuanya dibuat tangkap layar dijadikan bahan bukti supaya dapat mengambil tindakan selanjutnya.
“Terserah kepada awda semua jika mahu terus melakukan perkara tak bermoral. Ada banyak yang saya nampak tinggalkan mesej tidak senonoh, jadi saya simpan sebagai bahan bukti,” katanya.
Pemenang trofi Aktres Filem Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-35 itu berkata, ada dua perkara diterima iaitu mesej tidak senonoh terutama daripada lelaki. Satu lagi, mesej memaki hamun tanpa sebab. – Agensi