Lelaki seludup 100 karton rokok dicekup

Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan PPDB

TEMBURONG, 14 SEPT – Hasil daripada risikan dan pemantauan berterusan, Balai Polis Bangar, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) sekali lagi berjaya menahan seorang individu bersama barang tegahan yang dipercayai cuba dibawa masuk ke negara ini pada 12 September lalu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh PPDB, hari ini, insiden itu berlaku pada awal malam 12 September di mana suspek telah ditahan di kawasan Jalan Labu berdekatan Brunei Bridge Authority, Temburong.

Sejurus itu, pemeriksaan kenderaan dijalankan dan menemukan dua bungkusan besar yang mencurigakan disimpan di bahagian bonet kenderaan di mana siasatan awal yang dijalankan mendapati barangan berkenaan merupakan barang tegahan iaitu rokok.

Suspek bersama kenderaan dan barang rampasan dibawa ke Balai Polis Bangar bagi siasatan di mana hasil daripada pemeriksaan lanjut mendapati sejumlah 100 karton rokok telah ditemukan.

Kenyataan menyatakan lagi bahawa suspek merupakan seorang lelaki warganegara tempatan berumur 21 tahun yang kemudiannya diserahkan bersama barang rampasan ke Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi siasatan lanjut.

Di samping negara sedang berusaha dalam pengawalan wabak COVID-19 ini, masih terdapat segelintir individu yang masih degil dan mengambil ringan akan larangan-larangan kerajaan dalam usaha untuk memutuskan rantai penularan daripada terus merebak dalam
kalangan orang ramai.

Dalam hal berkenaan, PPDB tidak ada teragak-agak dan akan mengambil tindakan sewajarnya melalui peruntukan undang-undang yang telah dikuatkuasakan bagi memastikan masyarakat dan negara ini sentiasa dalam keadaan aman dan sejahtera.

Dua kotak bungkusan mencurigakan disimpan di bahagian bonet kenderaan semasa pemeriksaan ke atas suspek di kawasan Jalan Labu, Temburong pada 12 September lalu.
Sebanyak 100 karton rokok yang dirampas daripada seorang suspek lelaki tempatan berusia 21 tahun yang ditahan bersama barangan tegahan yang dipercayai cuba untuk dibawa masuk ke negara ini pada 12 September lalu.