Lelaki seludup wanita dipenjara, sebat

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 SEPT – Mahkamah Perantaraan hari ini menjatuhkan hukuman penjara selama lima tahun berserta tiga kali sebatan ke atas seorang lelaki warganegara Indonesia berusia 33 tahun yang didakwa melakukan kesalahan penyeludupan manusia.

Junaidi Muhtar Ali turut diarahkan untuk membayar denda $6,000 atau berdepan dengan tambahan masa pemenjaraan selama dua bulan.

Hakim Pengiran Hajah Norismayanti binti Pengiran Haji Ismail mendapati bahawa Timbalan Pendakwa Raya Siti Nurjauinah binti Haji Kula telah berhasil membuktikan kesnya terhadap Junaidi yang melangkaui keraguan mahkamah setelah membawakan seramai lima orang saksi dan tidak mempercayai keterangan tertuduh yang tidak konsisten.

Mahkamah menetapkan bahawa tertuduh yang bekerja di negara ini sebagai penghantar barang di salah sebuah kedai serbaneka telah mengaturkan bagi seorang wanita warganegara Indonesia yang berusia 28 tahun yang bekerja di negara ini sebagai pembantu rumah untuk pergi ke Pontianak, Indonesia melalui Miri, Malaysia dengan bantuan seorang rakan dan ejen di Miri.

Tertuduh telah membuat pengaturan dan menyedari bahawa wanita warga Indonesia itu tidak memiliki pasport dan dia akan menerima $100 untuk mengatur perjalanan tersebut.

Pada 2 Mac 2020, ketika wanita Indonesia itu membayar tertuduh $100, tertuduh kemudiannya menelefon rakannya dan memintanya untuk menghantar wanita itu ke sempadan dengan menggunakan keretanya tanpa menggunakan pasport.

Ketika dalam perjalanan, rakan tertuduh memberhentikan keretanya di tepi jalan disebabkan keretanya kehabisan minyak.

Wanita itu kemudiannya menelefon tertuduh untuk meminta bantuan. Tertuduh tidak lama kemudian tiba dan membawa rakannya untuk mendapatkan minyak dan meninggalkan wanita berkenaan di dalam kereta.

Mereka kembali tidak lama selepas itu dan mengisikan minyak pada kereta tersebut sebelum rakan tertuduh membawa wanita berkenaan meneruskan perjalanan ke Sungai Tujoh dan sebelum mereka sampai ke pos sempadan, rakan tertuduh mengarahkan wanita tersebut untuk bersembunyi di dalam but kereta.

Bagaimanapun, semasa di pos sempadan, but kereta telah dibuka bagi pemeriksaan yang akhirnya menyebabkan kepada penahanan rakan tertuduh dan wanita tersebut.  Tertuduh memohon belas kasihan mahkamah dengan alasan kesulitan kepayahan hidup keluarganya di negaranya.

Mahkamah menegaskan bahawa di sebalik simpati terhadap penderitaan keluarga tertuduh, ini bukanlah faktor yang mempengaruhi mahkamah dalam mengurangi hukuman tertuduh, jelas hakim.