Lelaki serang doktor gigi didakwa

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 JUN – Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret, hari ini, atas pertuduhan menyerang doktor gigi.

Tertuduh, Christopher Cheok, 58, didakwa menyerang mangsa semasa perbalahan berlaku di Pusat Pergigian Negara dalam kejadian pada 6 April lalu, dengan menuding jarinya ke muka mangsa sambil mengeluarkan kata-kata kesat. Dalam sebutan, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Fitri binti Kiprawi memohon untuk pengakuan tertuduh direkodkan namun Peguam Bela Robin Cheok yang mewakili tertuduh memaklumkan mahkamah bahawa anak guamnya belum bersedia untuk pengakuannya direkod, dan meminta lebih masa untuk mempertimbangkan kes.

Kesalahan tertuduh boleh membawa kepada hukuman sehingga satu tahun penjara dan denda jika disabitkan kesalahan.

Majistret Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid menangguhkan sebutan sehingga 1 Julai 2020, dan membenarkan tertuduh dilepaskan dengan ikat jamin dan mematuhi syarat jaminan iaitu untuk tidak mendekati mangsa secara langsung atau tidak langsung.

Sementara itu, Pejabat Peguam Negara mengeluarkan peringatan kepada orang awam bahawa ancaman lisan atau fizikal yang dilakukan terhadap penjawat awam adalah suatu kesalahan di bawah Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22, dan boleh dihukum di bawah undang-undang.