Lelaki tempatan didakwa kurung, pukul teman wanita

Oleh Fadley Faisal

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JULAI – Seorang lelaki warga tempatan telah didakwa mengurung teman wanitanya dan melakukan siri serangan teruk menggunakan senjata.

Kelmarin, Ketua Majistret Pengiran Masni binti Pengiran Haji Bahar telah memindahkan kes terhadap Mohammad Aliana bin Ibrahim, 42, ke Mahkamah Tinggi.

Fakta kes daripada Timbalan Pendakwa Raya Nor Hafizah Ahmad mendakwa bahawa tertuduh telah mengurung teman wanitanya berusia 31 tahun di sebuah rumah di Kampung Baru, Jalan Junjongan, Limau Manis pada Disember 2019.

Tertuduh juga didakwa menyerang teman wanitanya menggunakan batang paip besi dan jek kereta antara November dan Disember 2019, satu lagi serangan menggunakan paip besi dan gunting ketika dalam kereta pada 9 Mei 2020, menyerangnya berulang kali menggunakan paip besi dengan memukul telinganya di Kampung Mumong antara Mei dan Jun 2020 dan satu lagi serangan serius terhadapnya menggunakan paip besi, sabit dan pemutar skru antara Mei dan Jun 2020 di Kampung Mumong.