Lelaki tempatan mengaku bersalah melakukan curi

Oleh Fadley Faisal

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 NOV – Mahkamah Majistret di sini, kelmarin menjatuhkan hukuman penjara dua tahun terhadap seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun selepas mengaku bersalah atas kesalahan mencuri di sebuah kediaman sementara mempunyai 10 sabitan kesalahan yang sama sebelum ini.

Pendakwa Raya Kamal Ariffin Ismail memaklumkan Majistret Kanan, Pengiran Hazirah binti Pengiran Haji Mohd Yusof bahawa Bongsu bin Haji Tengah telah pergi ke rumah adiknya di STKRJ Bukit Sibanging, Kampung Sungai Buloh.

Pada pukul 2:30 pagi kelmarin, dia menunggang basikalnya untuk mencari besi buruk apabila ternampak sebuah rumah di Kampung Tanah Jambu dan terlihat hasil kerja logam di luar rumah itu dan pintu depannya terbuka sedikit.

Tertuduh telah memasuki rumah tersebut, di mana dia telah terlihat telefon bimbit dan mengambilnya.

Dia kemudian mencari besi buruk di perkarangan rumah tersebut.

Tidak lama kemudian, seorang lelaki warga Bangladesh yang menghuni rumah itu mendekati defendan dan meminta telefon bimbitnya.

Defendan cuba melarikan diri tetapi lelaki Bangladesh tersebut berjaya menahannya dan memaksanya untuk mengembalikan telefon bimbit itu kepadanya.

Dia kemudian memaklumkan kejadian tersebut kepada rakan sekerjanya dan akhirnya membuat laporan polis yang membawa kepada penahanan tertuduh.