Lelaki tempatan mengaku curi barang kemas mayat wanita

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 SEPT – Seorang lelaki tempatan telah mengaku bersalah di Mahkamah Majistret hari ini kerana mencuri harta benda daripada mayat wanita berusia 43 tahun dan gagal melaporkan kematian.

Majistret Kanan Azrimah binti Abdul Rahman sedang mempertimbangkan hukuman setimpal untuk dijatuhkan ke atas Mohammad Rafi Ezamdie bin Muhammad Daud, 30, pada 15 September ini.

Timbalan Pendakwa Raya Raihan Nabilah binti Haji Ahmad Ghazali mendedahkan kejadian yang membawa kepada penangkapan tertuduh.

Pada jam 7:31 malam 7 Ogos lalu, pihak polis menerima maklumat daripada seorang lelaki berusia 58 tahun bahawa terdapat mayat di dalam sebuah kereta berhampiran kebunnya. Dia menambah bahawa pe-nemuan tersebut  disebabkan seorang lelaki lain bertemu dengannya sehari sebelum itu di kebunnya. Ini menyebabkan polis menangkap defendan pada 14 Ogos.

Semasa siasatan lanjut, tertuduh memberitahu polis bahawa dia pergi ke kebun di Jalan Mumong, Kuala Balai lewat tengah hari, bagi mendapatkan buah-buahan untuk dijual.

Sebelum memasuki kebun, dia melihat sebuah kereta diletakkan di tepi jalan. Setelah satu jam berlalu, tertuduh kembali keluar dan berhenti untuk memeriksa kereta berkenaan dan melihat seperti terdapat seorang yang sedang tidur di dalamnya.

Dia membunyikan honnya tiga kali tetapi tidak mendapat tindak balas. Kemudian dia berjalan ke kereta itu dan membuka pintunya lalu menyedari bahawa orang itu telah meninggal dunia. Dia kembali ke keretanya dan membunyikan honnya yang menarik perhatian pemilik kebun berusia 58 tahun itu. Tertuduh memberitahunya mengenai mayat itu.

Tertuduh kembali menuju ke arah mayat tersebut dan mengambil rantai emas, gelang dan cincin dengan memotongnya dengan menggunakan sepasang gunting yang dijumpainya di dalam kereta yang sama. Semasa tertuduh pergi, dia didatangi oleh pemilik kebun lagi yang memintanya untuk melaporkan penemuannya kepada pihak polis dan bersetuju.

Sebaliknya, tertuduh pergi untuk meminta pertolongan rakan-rakannya untuk menjual barangan kemas emas itu.

Tertuduh berjaya mendapatkan $500 daripada hasil jualan barangan kemas tersebut di sebuah kedai barang kemas.

Tertuduh kemudian membeli telefon bimbit dengan wang tunai dan menghabiskan selebihnya untuk membeli makanan, ubat-ubatan dan memberikan hadiah kepada rakan-rakannya masing-masing $50 kerana menemaninya. Pihak pendakwaan juga memberitahu mahkamah bahawa siasatan terhadap pembunuhan wanita itu masih dijalankan.