Lelaki tempatan mengaku salah merompak

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JUN – Seorang lelaki tempatan mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, kelmarin, kerana melakukan rompakan menggunakan pisau terhadap seorang lelaki warga asing yang cuba menumpangnya.

Hakim Mahkamah Perantaraan, Harnita Zelda Skinner menetapkan tarikh 8 Julai depan untuk menjatuhkan hukuman terhadap Mohammad Azhan bin Awang Ahmad, 35.

Timbalan Pendakwa Raya, Syazwani binti Jumat memaklumkan kepada mahkamah bahawa tertuduh memandu keretanya menuju Pantai Panaga pada jam 4:30 petang 29 Mei lalu.

Apabila tiba di sekolah berhampiran dan melihat lelaki warga India menunggu di salah sebuah perhentian bas, tertuduh menghampirinya.

Tertuduh menanyakannya hala tujuannya dan menawarkan untuk menumpangkannya ke rumah pekerjanya yang terletak di Pandan 5, Kuala Belait.

Setelah bersetuju dengan bayaran, mangsa cuba duduk di belakang tetapi akhirnya duduk di sebelah hadapan apabila diarahkan oleh tertuduh. Dalam perjalanan berkenaan, mangsa bertanya bayaran bagi perjalanan tersebut dan tertuduh menjawab $20.

Mangsa kemudiannya memberitahu bahawa beliau tidak mempunyai $20 dan memberitahu tertuduh bahawa dia perlu menunggu gajinya untuk dapat membayar kepada tertuduh.

Kemudian, tertuduh mengeluarkan pisau daripada laci keretanya lantas menggunakan pisau tersebut untuk mengancam mangsa dan menyuruhnya membuat bayaran atau terpaksa menyerahkan telefon bimbitnya.

Mangsa kemudiannya memberikan telefonnya dan turun daripada kereta tertuduh yang terus pergi ke rumah rakannya di mana dia menjual telefon tersebut pada harga $30.

Mangsa akhirnya membuat laporan polis pada 30 Mei yang membawa kepada penangkapan tertuduh.