KENOSHA, WISCONSIN, 21 APRIL – Satu pemeriksaan rutin ke doktor gigi telah berakhir dengan insiden luar biasa – selepas seorang lelaki Illinois tersedut cebisan gerudi gigi dan terpaksa pergi ke hospital untuk mengeluarkannya pada bulan lepas.
Tom Jozsi, 60, memberitahu WISN-TV bahawa dia pergi ke klinik gigi untuk menambal giginya dan doktor gigi tersebut memberitahunya bahawa dia telah menelan satu alat.
“Saya langsung tidak merasa saya tertelannya. Apa yang saya rasakan hanyalah batuk. Apabila mereka melakukan imbasan CT, mereka memberitahu saya tidak menelan tetapi telah menyedutnya, katanya.
Para doktor percaya bahawa Jozsi menyedutnya sebelum saja dia mula batuk, menyebabkan cebisan gerudi satu inci itu tersekat dalam paru-paru Jozsi.
Dr Abdul Alraiyes, di Pusat Perubatan-Kenosha Aurora di Wisconsin berkata cebisan itu amat dalam sehinggakan alat skop biasa tidak mampu mencapainya. Jozsi berkata sekiranya cebisan gerudi itu tidak dapat dikeluarkan, sebahagian daripada paru-parunya terpaksa dibuang.
Alraiyes dan pasukan perubatannya memutuskan untuk mencuba peranti lebih baharu untuk mengeluarkan objek tesebut – alat yang direka untuk mengesan kanser. – AP