Lelaki tertua meninggal dunia, hampir cecah 113 tahun

NEW YORK, 19 JAN – Lelaki tertua di dunia, Saturnino de la Fuente Garcia dari Sepanyol, meninggal dunia pada usia 112 tahun dan 341 hari, kata Rekod Dunia Guinness hari ini.

Dia telah diisytiharkan sebagai lelaki tertua yang masih hidup di dunia apabila dia berusia 112 tahun dan 211 hari, kata pertubuhan yang berpangkalan di London itu dan dijangka meraikan hari jadinya yang ke-113 bulan hadapan.

Disebabkan perawakannya yang kecil, lelaki Sepanyol yang tingginya 1.5 meter, yang dilahirkan di Ponte Castro, Leon, pada 11 Februari 1909, mengelak daripada menyertai berperang dalam Perang Saudara Sepanyol 1936 dan sebaliknya menjalankan perniagaan kasut yang berjaya.

Dia mempunyai tujuh anak, 14 cucu dan 22 cicit.

Menurut laman sesawang Guinness, orang tertua pernah direkodkan ialah Jeanne Louise Calment dari Perancis yang meninggal dunia pada 1997 pada usia 122 tahun dan 164 hari, dilahirkan pada Februari 1875. – AFP