Lelaki Thai bunuh diri semasa kuarantin

BANGKOK, 27 OGOS – Seorang lelaki Thailand yang sedang menjalani tempoh kuarantin wajib selepas kembali dari Israel ditemui mati, dipercayai membunuh diri dengan terjun keluar dari bilik hotel “Alternative State Quarantine” (ASQ) di wilayah Chon Buri.

Jurucakap Kementerian Pertahanan Thailand Mej Jen Kongcheep Tantrawanich berkata lelaki berumur 39 tahun yang berasal dari wilayah Buriram di timur laut itu baru kembali ke Thailand pada hari Selasa, dan terus memasuki hotel ASQ pada hari yang sama.

“Lelaki itu meninggal dunia akibat kecederaan parah selepas dia melompat keluar dari biliknya pada kira-kira pukul 4 petang (waktu tempatan) kelmarin,”  katanya dalam kenyataan. – Bernama