Lelaki tumbuk ibu hanya kerana tisu tandas

LOS ANGELES, 10 APRIL – Seorang lelaki California ditahan pada minggu ini kerana didakwa menumbuk ibunya – yang menyembunyikan tisu tandas keluarga disebabkan kegunaan berlebihan komoditi yang amat popular itu.

Polis dipanggil ke rumah keluarga lelaki di Saugus, utara Los Angeles, pada pukul 3 pagi Isnin berikutan satu pertengkaran berhubung tisu tandas berkenaan, beritahu Shirley Miller, jurucakap untuk Stesen Syerif Santa Clarita Valley, kepada AFP.

Pergaduhan di antara Adrian Yan dan ibunya menjadi sengit dan dia menumbuknya di muka, kata Miller. Lelaki itu ditahan atas dakwaan melakukan serangan, tambah beliau.

Ibunya memberitahu pegawai bahawa beliau menyembunyikan tisu tandas daripada anak lelakinya yang berusia 26 tahun kerana dia menggunakannya terlalu banyak pada masa apabila produk itu tidak mempunyai bekalan yang cukup disebabkan pandemik COVID-19.

Miller berkata perintah berkurung yang dikenakan di seluruh negara akibat virus itu telah mendorong kepada peningkatan insiden keganasan keluarga. – AFP