Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Feb – Seorang lelaki tempatan terpaksa membayar denda $1,200 atau dipenjara tiga bulan selepas Mahkamah Majistret memutuskan hukuman itu terhadapnya atas pertuduhan mencederakan isterinya tahun lalu.
Ketua Majistret, Muhammad Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli menjatuhkan hukuman itu setelah Awangku Abdul Aziz bin Awangku Mohamad Karim, 34, mengaku bersalah melakukan perbuatan itu di dalam kereta di kawasan letak kereta Masjid Omar ‘Ali Saifuddien sekitar jam 9 malam pada 2 Februari 2016.
Pendakwaan terhadapnya dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Dayangku Didi Nuraza binti Pengiran Latiff mengikut Seksyen 323 Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22 yang membawa penjara sehingga tiga tahun dan juga denda.
Kertas pertuduhan menyebut, mangsa yang ketika itu masih bergelar isterinya memutuskan untuk menyambung semula kerjanya sebagai jurujual meskipun syif kerjanya tamat jam 6 petang apabila tertuduh belum lagi kelihatan untuk menjemputnya pulang.
Tertuduh tiba tidak lama kemudian tetapi terpaksa menunggu sehingga jam 8:50 malam.
Tertuduh dan mangsa bertengkar sepanjang perjalanan sehingga tertuduh memberhentikan kenderaannya di kawasan Masjid Omar ‘Ali Saifuddien di mana tertuduh menumbuk muka mangsa beberapa kali dan memukul tangan kanannya.
Mangsa pada 5 Februari 2016 memberanikan diri untuk membuat laporan polis di mana mangsa kemudian dibawa ke Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha untuk menjalani pemeriksaan.
Doktor bertugas mengesahkan mangsa mengalami ‘kecederaan’ disebabkan oleh trauma tumpul (tangan).