Lelaki warga Malaysia bawa rokok ditahan, dikuarantin

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 MEI – Seorang individu yang dikesan berkelakuan mencurigakan telah ditahan dalam Operasi Sepadu COVID-19 di kawasan Kampung Kuala Lurah yang dijalankan dengan kerjasama anggota Pasukan Simpanan Polis C Kompeni, Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) bersama keanggotaan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB).

Operasi rondaan yang dijalankan di kawasan industri, Kuala Lurah pada 8 Mei 2020 sekitar jam 2:45 pagi telah menemukan individu terbabit iaitu Faisal bin Roslan seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 25 tahun dan bekerja sebagai buruh.

Hasil pemeriksaan ke atas suspek, pihak penguat kuasa telah menemukan barangan tegahan yang disimpan di dalam beg galas kepunyaannya iaitu lima karton rokok pelbagai jenama.
Suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Limau Manis bagi siasatan awal dan peralihan siasatan akan diserahkan Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED).

Suspek akan seterusnya dibawa bagi menjalani ujian kesihatan (swabbing) dan akan menjalani perintah kuarantin iaitu kuarantin selama 14 hari.

Tangkapan tersebut adalah salah satu usaha kerjasama yang berterusan di antara PDB dan ABDB dalam rondaan bersepadu di kawasan-kawasan sempadan bagi menyekat sebarang individu dan aktiviti penyeludupan barang tegahan daripada memasuki negara ini secara haram dan secara tidak langsung membendung dan mengekang penularan wabak COVID-19 dengan lebih efektif dan berkesan.