HONG KONG, 5 April – Mangkuk tembikar China yang jarang ditemui mencecah lelongan hampir AS$27 juta, memecahkan anggaran pra-jualan sebanyak tiga kali ganda, pada lelongan Sotheby yang dihadiri oleh ramai pengunjung di Hong Kong.
Mangkuk tembikar imperial bercorak sederhana itu yang dihasilkan kira-kira 900 tahun lalu pada mulanya dijangka mencecah harga lelongan sehingga HK$80 juta, tetapi ia ditingkatkan oleh seorang pembida yang tidak dikenali, yang membuat bidaan telefon pada harga HK$208 juta (AS$26.7 juta).
Harga itu mencatatkan rekod dunia baru bagi sebiji tembikar dari Dinasti Song Utara (960-1127), menurut Sotheby, menumpaskan rekod pada 2008 apabila Pasu Mallet ‘Guan’ berjaya dilelong pada nilai HK$67.52 juta.
“Ruyao Washer adalah di antara pencapaian paling canggih dalam industri tembikar China. Kemunculannya di pasaran mencetuskan keterujaan yang amat besar,” kata timbalan pengerusi Sotheby Asia, Nicolas Chow.
Lapan pembida bersaing selama 15 minit pada sesi lelongan yang tegang tersebut bagi mendapatkan mangkuk berbentuk bunga tersebut.
Minat dan harga adalah bukti kepada penuh semangat bagi pasaran seni Asia, yang sudah menyaksikan pertumbuhan yang memberangsangkan sejak berdekad lalu, menurut para pakar.
Tembikar ‘Ru’, yang dinamakan sempena salah satu dari lima tanur bata yang beroperasi ketika Dinasti Song, adalah yang paling jarang ditemui di China, dan dianggarkan hanya 79 mangkuk seumpama itu yang masih ada di dunia, kebanyakannya di muzium.
Hong Kong muncul sebagai salah satu pusat lelongan terbesar selepas New York dan London, disemarakkan oleh pertumbuhan pesat ekonomi China serta permintaan daripada pembeli terutama dari tanah besar yang pastinya meningkatkan harga barangan seni China.