Lemang antara pilihan juadah berbuka

Oleh Yusrin Junaidi

Gambar oleh Muiz Matdani

Seluruh umat Islam di dunia yang ketika ini menunaikan ibadah puasa selama sebulan di bulan Ramadan ini, dari segi faktanya akan berbuka puasa pada jam yang sama setelah azan Maghrib dikumandangkan mengikut zon dan negara masing-masing.

Rata-rata pada bulan ini juga, ramai keluarga akan mencari juadah istimewa yang kadang-kadang ada hanya pada bulan Ramadan, yang mana ia juga ‘lombong emas’ buat peniaga-peniaga makanan berskala kecil hinggalah besar.

Para peniaga akan mula kelihatan berjaja di tepi-tepi jalan dengan gerai-gerai yang menjual pelbagai juadah berbuka puasa seperti kuih-muih, ayam golek, nasi briyani serta pelbagai lagi dan tidak terkecuali gerai menjual lemang tradisi Brunei.

Meskipun lemang sinonim sebagai juadah tradisional paling popular apabila tibanya hari raya, namun lemang juga sering dicari di bulan Ramadan sebagai juadah berbuka puasa.

Hal ini kerana lemang boleh menjadi sebagai ganti kepada nasi, mi atau makanan lain sebagai makanan berat ketika berbuka. Apatah lagi lemang sering dikombinasikan dan sememangnya enak dimakan bersama rendang ayam atau daging mahupun kuah kari daging.

Rata-rata peniaga lemang memiliki teknik tersendiri untuk memasaknya. Akan tetapi sesetengah penjual masih menggunakan teknik memasak tradisi, di mana beras pulut dimasukkan ke dalam buluh dengan beberapa ramuan rahsia dan baru dibakar dalam beberapa jam. – Agensi
Salah sebuah gerai di tepi jalan yang menjual lemang dan daging rendang.
Lemang lazimnya akan dimakan bersama daging rendang atau kari ayam. – Agensi
Salah seorang peniaga yang menjual lemang pada bulan Ramadan yang kunjungi oleh pihak Media Permata.

Hasil tinjauan Media Permata baru-baru ini, penjual lemang hanya akan beroperasi sekitar 4 jam yang bermula pada pukul 3 petang hingga waktu berbuka setiap hari, gerai menjual lemang akan mula dihurungi penggemar lemang.

“Memang beginilah keadaannya pada minggu pertama di bulan Ramadan dan kami begitu sibuk kerana pelanggan meningkat mendadak serta berganda berbanding hari biasa. Ini disebabkan, Bazar Ramadan telah ditiadakan pada tahun ini memandangkan aktiviti perkumpulan beramai-ramai tidak dibenarkan pada musim krisis penularan wabak COVID-19,” ujar salah seorang penjual lemang yang ditemu bual oleh Media Permata.

Di negara ini, gerai lemang kebanyakannya didirikan di tepi-tepi jalan, dan kualiti lemang yang dijual memang terbaik dan rata-rata lemang mereka dimasak menggunakan teknik tersendiri. Ia dijual bermula pada harga $4 hinggalah $8 bergantung kepada saiz lemang.

Antara bahan bagi hidangan lemang tradisional ini ialah santan kelapa, beras pulut dan juga sedikit garam. Kombinasi tiga bahan utama ini perlu dalam sukatan yang betul supaya dapat menghasilkan lemang yang sedap dan berkualiti. Kebanyakan jualan lemang pada masa ini menggunakan teknik lemang rebus, di mana lemang yang dibakar telah direbus terlebih dahulu dan ini mengurangkan keunikan rasa lemang asli.

Akan tetapi sesetengah penjual masih menggunakan teknik memasak tradisional, di mana beras pulut dimasukkan ke dalam buluh dengan beberapa ramuan rahsia dan baru dibakar dalam beberapa jam sebelum dijual.

Namun, sejak krisis pandemik wabak COVID-19 di negara ini, keberadaan penjual lemang di bulan Ramadan tahun ini nampaknya agak berkurangan dan susah dicari. Pada tahun-tahun sebelumnya, gerai-gerai menjual lemang ini mudah dijumpai dan kini hanya segelintir mereka sahaja yang kelihatan.

Memandangkan kebanyakan daripada mereka terdiri daripada golongan yang susah, membuat jualan secara dalam talian memang agak terhad. Hal ini kerana mereka tidak mempunyai data internet yang banyak atau tidak mempunyai sama sekali untuk mempromosikan dan menjual secara dalam talian. Malah sesetengahnya juga tidak pandai menggunakan media sosial untuk mempromosikan jualan dan kadangkala promosi yang dibuat diatasi oleh promosi orang lain sehinggakan pilihan menjadi terlalu banyak.

Media Permata sempat mengunjungi salah seorang penjual lemang di tepi jalan dan mendapati kualiti lemang dan daging rendang mereka sememangnya enak dan terbaik. Apabila ditanya mengenai dengan COVID-19, mereka juga tahu akan bahayanya wabak berkenaan. Penjual lemang berkenaan juga menyatakan bahawa meskipun mereka berjual di tepi jalan, bukan bererti mereka tidak mengamalkan langkah-langkah keselamatan seperti penjarakan sosial dan memakai penutup mulut dan hidung ketika berurusan dengan pembeli.

Penjual itu juga menambah bahawa teknik jualan lemang di tepi jalan sama seperti kaedah pembelian secara pandu lalu, di mana pelanggan hanya menunjuk lemang dan daging rendang dari dalam kereta mereka. Lalu makanan yang dipilih tersebut akan dihantar ke kereta pelanggan.

“Kebiasaan jualan lemang memang mendapat sambutan yang baik seperti tahun-tahun sudah, dan ini adalah salah satu mata pencarian kami untuk menampung perbelanjaan menjelang Hari Raya Aidilfitri. Akan tetapi wabak COVID-19 yang masih lagi aktif, menyebabkan sambutannya agak kurang memberangsangkan,” jelas penjual.