YANGON, Myanmar, 27 Sept – Ribuan lembu dan kambing memakan rumput di kawasan terbuka dan berkeliaran di kampung-kampung etnik beragama Islam Rohingya selepas tindakan keras tentera membuatkan hampir setengah juta minoriti Myanmar itu melarikan diri ke sempadan.
Ketika ini, lebih daripada setengah dozen saksi memberitahu The Associated Press, askar-askar dan polis mengambil kesempatan ke atas bencana kemanusiaan itu. Mereka bercakap dengan syarat tanpa dinamakan disebabkan kebimbangan keselamatan.
Di kawasan utara negeri Rakhine, di mana kampung demi kampung telah dibakar sepenuhnya, pasukan-pasukan keselamatan dan pentadbiran setempat telah mengumpul binatang ternakan itu dan membawanya dengan berjalan kaki, trak dan kadang-kadang menggunakan bot ke kawasan-kawasan kawalan Buddha.
Binatang-binatang berharga itu kemudian dijual kepada pedagang-pedagang dan penduduk dengan harga AS$200 seekor, suku daripada nilai sebenar.

Dari sana, lembu-lembu dibawa ke ibu negeri Rakhine, Sittwe, di mana lebih daripada 120,000 pelarian orang Islam Rohingya yang terjejas oleh keganasan terdahulu dalam tahun 2012 menetap di kem-kem yang tidak diberikan akses bantuan makanan dan perubatan. Pihak AP memiliki foto-foto lembu yang dirampas sedang didagangkan di belakang bangunan parlimen negeri.
Kerajaan Myanmar telah menyekat agensi-agensi PBB dan pertubuhan-pertubuhan bantuan antarabangsa dari menghantar bantuan ke kem-kem tersebut sejak beberapa minggu dan komuniti Rohingya yang tinggal di kem berkenaan menjadi semakin terdesak hari demi hari.
Mereka tidak suka membeli lembu-lembu ini, kata seorang ketua komuniti Islam Rohingya, yang meminta tidak dinamakan atas sebab-sebab keselamatan. – AP