Lengkapi graduan kemahiran dalam sektor pembinaan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 SEPT – Jawatankuasa Pandu Sumber Manusia Industri dalam Pembinaan (MISC) di bawah Majlis Perancangan Sumber Manusia dan Pekerjaan (MPEC) merasmikan satu inisiatif bagi memastikan tenaga kerja dan graduan tempatan dilengkapi dengan kemahiran relevan dalam industri pembinaan.

Inisiatif itu, Construction Industry Job Marketplace dan sesi temu duga Armecs Bridging Programme dirasmikan oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia IR Haji Suhaimi bin Haji Gafar di Dewan Betabur, Kementerian Pembangunan, Lapangan Terbang Lama, Berakas hari ini.

Ia merupakan kerjasama Kementerian Pembangunan, Kementerian Pendidikan, Sekretariat MPEC dan Job Centre Brunei khusus bagi pelatih yang akan menjalani latihan dalam industri pembinaan dalam bidang draughting dan pengawal selia tapak pembinaan di bawah program Perantis i-Ready.

Turut hadir di majlis berkenaan ialah Timbalan Menteri Pembangunan, Dato Seri Paduka Ar Haji Marzuke bin Haji Mohsin; Timbalan Menteri Pendidikan, Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh; ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Ar Dayang Siti Rozaimeriyanty binti Dato Seri Laila Jasa Haji Abdul Rahman, Yang Berhormat Haji Abdul Hamid @ Sabli bin Haji Arsad; setiausaha tetap-setiausaha tetap, timbalan-timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan, pengarah-pengarah urusan dan wakil dari firma-firma konsultan dan syarikat-syarikat pembinaan.

Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional) di Kementerian Pembangunan, IR. Haji Amer Hishamuddin bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Haji Zakaria dalam ucapan alu-aluannya pada majlis perasmian berkata acara itu merupakan inisiatif pertama MISC dalam mengorak langkah untuk meningkatkan kebolehpasaran anak-anak tempatan dan memastikan pencari kerja tempatan memperoleh kemahiran dan kecekapan yang relevan dalam industri pembinaan.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi memukul gong bagi menyempurnakan perasmian Construction Industry Job Marketplace MISC dan sesi temu duga Armecs Bridging Programme yang berlangsung di Dewan Betabur, Kementerian Pembangunan, Lapangan Terbang Lama Berakas, kelmarin.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi diberikan penerangan semasa menyaksikan pameran tersebut.

Beliau menerangkan bahawa jawatankuasa pandu berkenaan telah mengadakan beberapa konsultasi pihak-pihak yang berkepentingan termasuk dengan pihak majikan dan pekerja-pekerja tempatan serta mengenal pasti 11 jawatan utama kritikal dalam industri pembinaan yang dapat diisikan oleh pekerja tempatan.

“Program latihan yang diadakan pada hari ini, iaitu Armecs Bridging Programme adalah untuk empat daripada jawatan tersebut, iaitu drafting dan site supervision yang merangkumi jawatan resident technical officer, contractor site representative dan clerk of works.”

Haji Amer Hishamuddin berkata secara amnya, pelatih-pelatih Armecs Bridging Programme akan menjalani enam bulan latihan pekerjaan iaitu bekerja dengan firma-firma konsultan dalam bidang seni bina, kejuruteraan awam dan struktur serta kejuruteraan mekanikal dan elektrik untuk memberikan pendedahan yang mendalam dan menyeluruh dalam industri pembinaan sebelum bekerja dengan majikan sama ada kontraktor atau konsultan selama 12 bulan di bawah program perantis i-Ready.

Gabungan dua acara itu amat merupakan detik penting MISC in Construction dalam mengorak langkah untuk meningkatkan kebolehpasaran anak-anak tempatan Brunei dan memastikan pencari kerja tempatan memperoleh kemahiran dan kecekapan yang relevan dalam industri pembinaan.

Construction Industry Job Marketplace memberi peluang bagi anak-anak tempatan graduan lepasan institusi pendidikan dan pencari kerja secara amnya untuk berinteraksi dengan bakal majikan di dalam industri pembinaan.

Sebanyak 20 buah syarikat menyertai Job Marketplace yang menawarkan lebih kurang 200 kekosongan jawatan yang berkaitan dalam sektor pembinaan dan juga jawatan-jawatan am yang lain.

Di samping itu, acara sesi temu duga Armecs Bridging Programme yang disasarkan khusus bagi pelatih yang akan terpilih untuk menjalani latihan dalam industri pembinaan dalam bidang draughting dan construction site supervisor. Pelatih-pelatih yang terpilih bagi mengikuti Armecs Bridging Programme in Draughting dan Armecs Bridging Programme in RCC-Visor (Resident Technical Officer, Company Site Representative dan Clerk of Works as Supervisor) itu nanti akan diambil bekerja di bawah Program Perantisan i-Ready.

Seramai 45 orang pelatih akan diterima untuk mengikuti latihan industri di kedua bidang ini selama enam bulan dalam tiga bidang disiplin yang berlainan. Sebanyak 45 buah firma konsultan di ketiga bidang disiplin iaitu arkitek, mekanikal dan elektrikal, sivil dan penstrukturan telah bersetuju dan ikut serta untuk memberi latihan selama enam bulan kepada pelatih-pelatih berkenaan.

Setelah pelatih-pelatih yang terdiri daripada lepasan graduan anak tempatan dari institusi teknikal tempatan dan luar negara ini menamatkan latihan mereka selama enam bulan, pelatih-pelatih itu nanti akan menyambung bidang pekerjaan mereka selama 12 bulan di syarikat-syarikat pembinaan yang menerima mereka bekerja di bawah skim perantisan i-Ready di mana sebanyak 26 buah syarikat pembinaan menyertai skim berkenaan.