Thursday, April 25, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Lengkapkan golongan OKU dengan kemahiran

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 MAC – Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) sudah melaksanakan perancangan untuk mendirikan pusat orang kelainan upaya (OKU) di bawah satu bumbung untuk menempatkan program-program kemahiran bagi memastikan anak-anak OKU akan mendapat kemahiran yang sejajar dengan keperluan peluang-peluang pekerjaan di sektor-sektor ekonomi di negara ini.

    Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad mengongsikan perkara itu bagi memberikan pencerahan berhubung sejauh mana program-program kemahiran yang disediakan oleh pihak kementerian bagi membolehkan golongan OKU benar-benar menepati standard yang dikehendaki berdasarkan permintaan pasaran.

    Perkara itu dibangkitkan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohd Yusof semasa permesyuaratan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) di Dewan Majlis, kelmarin.

    Menurut Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi, pihak kementerian sering mendengar keluhan-keluhan daripada golongan ibu bapa yang ingin melihat anak-anak OKU mampu berdikari dalam mendapatkan sumber-sumber pendapatan sehingga juga membolehkan anak-anak OKU berkenaan berkeluarga dan beranak-pinak serta menyara kehidupan masing-masing tanpa bergantung kepada ibu bapa atau mana-mana pihak.

    “Jadi perkara ini merupakan satu cabaran kerana OKU ini keperluannya berbeza-beza tertakluk kepada keperluan mereka masing-masing. Jadi adalah diharapkan dengan adanya pusat OKU ini nanti, program-program kemahiran itu aka dapat dikendalikan dan ditawarkan kepada anak-anak OKU itu nanti,” jelasnya lagi.

    Di samping itu, Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan turut mengongsikan bahawa KKBS juga bekerjasama rapat dengan pihak MPEC untuk cuba memberi peluang kepada anak-anak OKU iaitu peluang-peluang pekerjaan yang boleh ditawarkan oleh syarikat-syarikat di negara ini.

    “Baru-baru ini, satu pesta kerjaya kita dapat melihat peningkatan daripada syarikat-syarikat yang menawarkan pekerjaan kepada anak-anak OKU. Memang terdapat pekerjaan yang diberikan kepada back office dan ia tertakluk kepada keperluan dan keupayaan setiap anak-anak OKU yang boleh dimanfaatkan oleh syarikat-syarikat tersebut.

    “Kita berharap di masa akan datang, lebih ramai lagi syarikat-syarikat akan dapat menawarkan peluang pekerjaan kepada anak-anak OKU,” kongsi beliau lagi.

    Yang Berhormat Dato turut mengongsikan, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ada beberapa organisasi di negara ini yang sudah tidak asing lagi menawarkan peluang-peluang pekerjaan kepada anak-anak OKU.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Presiden Iran rasmi projek hidrokuasa dan pengairan Sri Lanka

    COLOMBO, 24 APRIL — Presiden Iran, Ebrahim Raisi tiba di Sri Lanka hari ini untuk merasmikan projek hidrokuasa dan pengairan yang telah lama tertangguh...